Mudahnya wanita dibunuh
Dalam kebanyakan kes, lelaki mengeksploitasi undang-undang yang longgar sehingga menyebabkan mereka sanggup membunuh ahli keluarga wanita bagi merebut harta dan menyelesaikan pertelingkahan keluarga.
SELAIN di Jordan, wanita-wanita di Pakistan juga mengalami nasib yang sama apabila ahli keluarga lelaki mereka sanggup membunuh mereka kerana harta atau bagi menyelesaikan pertelingkahan keluarga.
Apabila Maha, 18, mahu berhenti melacurkan diri dalam sindiket pelacuran milik keluarganya, abang beliau telah membunuhnya dan mendakwa tindakan tersebut untuk 'menyucikan' maruah keluarga.
Maha merupakan salah seorang daripada mangsa yang hidup dalam masyarakat yang mendakwa wanita perlu dibunuh kerana telah 'mencemarkan' reputasi keluarga.
Di Jordan, antara 15 dan 20 wanita dibunuh setiap tahun atas nama 'maruah' dan sekurang-kurangnya lapan kes telah dilaporkan pada tahun ini.
Pada tahun lalu, sebanyak 17 pembunuhan seperti itu telah dilaporkan.
Namun begitu, label 'pembunuhan maruah' boleh disalahertikan dalam negara kecil yang didominasikan kaum lelaki.
Para hakim, peguam, aktivis dan pakar bersetuju bahawa dalam kebanyakan kes, lelaki mengeksploitasi undang-undang yang longgar manakala tanggapan salah sosial terhadap wanita menyebabkan mereka sanggup membunuh ahli keluarga wanita bagi merebut harta dan menyelesaikan pertelingkahan keluarga.
"Oleh kerana Maha tidak mahu terus melacurkan diri, abangnya telah membunuhnya," kata Israa Tawalbeh, koroner wanita pertama Jordan.
Menurut Tawalbeh, abang Maha merupakan seorang penagih dadah, memiliki rekod jenayah dan mengendalikan sindiket pelacuran keluarga di timur kejiranan Amman.
"Selepas membunuh Maha, beliau menyerah diri dan mendakwa melakukannya untuk menyucikan maruah keluarga. Pemeriksaan forensik mendapati gadis tersebut terlibat dalam kancah pelacuran. Dalam kes ini, abang Maha hanya dijatuhkan hukuman penjara dua tahun.
"Tiada siapa yang ambil kisah sama ada gadis tersebut mahu berhenti daripada melacur. Abangnya terlepas daripada menerima hukuman berat kerana dia hidup di dalam masyarakat yang didominasi kaum lelaki. Ini tidak adil," katanya.
Dalam satu kes lain, seorang lelaki memukul anak gadisnya berusia 16 tahun sehingga mati, dengan mendakwa anak gadisnya itu telah hamil di luar nikah.
Siasatan yang dijalankan membuktikan si bapa telah mencabul anak gadisnya.
Hakim Jehad Oteibi selaku jurucakap Majlis Perundangan Jordan, berkata, rekod-rekod mahkamah menunjukkan bahawa kebanyakan 'pembunuhan maruah' dilakukan atas sebab pewarisan harta.
Di bawah undang-undang Syariah, pewaris wanita berhak memperoleh harta pusaka, sungguhpun hanya separuh daripada yang diterima oleh pewaris lelaki.
"Ujian forensik membuktikan bahawa kebanyakan mangsa masih dara. Ini menunjukkan terdapat motif lain di sebalik pembunuhan tersebut.
"Ia juga menjadi isu yang sangat sensitif dalam masyarakat kami," kata Oteibi.
Menurut Human Rights Watch, sebanyak 95 peratus wanita yang dibunuh pada 1997 di Jordan kononnya dilakukan atas alasan pembunuhan maruah yang kemudiannya dibuktikan tidak bersalah.
"Ramai wanita terpaksa melepaskan hak mereka atau berhadapan dengan kematian. Keluarga sendiri membunuh mereka dan mendakwa ia dilakukan demi maruah, dan bukannya wang.
"Malangnya, kita tidak tahu perkara sebenar kerana wanita-wanita ini telah mati," kata Oteibi.
Beliau juga berkata, ibu-ibu akan memberikan keterangan menentang anak perempuan mereka demi melindungi anak lelaki dan suami mereka.
"Kejahilan dan kemiskinan menjadi satu gabungan yang mantap untuk membunuh," tegas hakim itu.
Pakar sosial di Universiti Jordan, Seri Nasser menyalahkan sistem perundangan di negara itu.
"Kebanyakan hakim adalah lelaki yang menggunakan kuasa mereka untuk mengurangkan hukuman yang sepatutnya.
"Mereka lupa bahawa wanita menjadi mangsa kerakusan keluarga lelaki mereka," kata Nasser.
Pesalah boleh mendapat hukuman yang ringan apabila Parlimen enggan memperbaharui kanun keseksaan agar hukuman lebih berat dapat dikenakan.
Menurut artikel 340 kanun keseksaan, seorang defendan yang 'membunuh isterinya atau ahli keluarga perempuan' dalam kes zina boleh mempertahankan diri atas sebab 'jenayah maruah'.
Untuk wanita pula, 'seorang wanita yang membunuh suaminya atas jenayah zina' boleh menggunakan alasan sama tetapi setakat hari ini, tiada laporan atau angka rasmi pembunuhan 'maruah' lelaki wujud dalam fail jenayah negara itu.
Artikel 98 kanun keseksaan itu menyatakan bahawa 'justifikasi meringankan hukuman boleh disarankan kepada sesiapa sahaja yang melakukan jenayah dalam keadaan marah kerana 'bahaya' yang dicetuskan oleh mangsa'. Kanun ini jika digunakan mungkin dapat mengurangkan penalti kes bunuh dengan signifikan.
Hukuman maksimum pembunuhan tahap satu ialah hukuman mati, manakala tahap kedua, penjara selama 15 tahun.
Namun, mereka yang telah dijatuhkan hukuman kerana kesalahan ini amat jarang menghabiskan tempoh dua tahun di dalam penjara.
"Sejak 50 tahun lalu, hanya segelintir mereka yang tertuduh memenuhi keperluan undang-undang," kata peguam kumpulan hak asasi manusia Amnesty International, Rehab Qaddumi.
Beliau bersetuju dengan kenyataan Oteibi bahawa kebanyakan pembunuhan itu tidak berkaitan dengan 'maruah'.
Qadduni bersama pakar-pakar lain menegaskan bahawa Islam melarang jenayah seperti itu dan masalah tersebut bukan hanya melibatkan rakyat Jordan.
"Untuk menghentikan pembunuhan wanita, artikel 340 harus dibuang. Saya merasakan undang-undang Islam Syariah harus digunapakai," kata wanita itu.
Undang-undang Syariah melarang seks sebelum perkahwinan dan menegaskan hukuman berzina tidak boleh dikuatkuasa sehingga terdapat pengakuan daripada pelaku atau daripada testimoni empat saksi yang boleh dipercayai, siuman dan dewasa yang masing-masing telah menyaksikan proses hubungan seksual itu.
Asma Khader, Setiausaha Agung Suruhanjaya Kebangsaan untuk Wanita di Jordan berkata: "Paras kelonggaran dalam menguatkuasakan undang-undang semakin menurun."
"Kerajaan sedang cuba meningkatkan kesedaran awam bagi menangani masalah ini. Jumlah 'pembunuhan maruah' telah menurun daripada 20 sehingga 25 kes setahun, kira-kira 10 tahun lalu kepada 15 kes jenayah sekarang."
Khader, seorang peguam dan bekas menteri turut mengeluarkan amaran bahawa pembunuhan seperti ini telah menghilangkan kuasa wanita dan mengurangkan peranan mereka dalam kehidupan masyarakat.
Tambahnya: "Saya dapati, ini lebih berbahaya berbanding pembunuhan biasa."
Raja Jordan, Raja Abdullah II, isterinya, Permaisuri Rania dan kaum kerabat lain turut mengetuai usaha menentang 'pembunuhan maruah' dan memperbaharui undang-undang. - AFP
petikan akhbar Kosmo Online 10.09.08
Wednesday, September 10, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment